fbpx

Usahawan kosmetik pukul anak, tak puas hati status WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usahawan kosmetik yang pernah tular mengaku tidak suka solat sebelum ini ditahan polis selepas dipercayai memukul anak perempuannya semalam.

PASIR MAS – Berang dengan status dimuat naik anak perempuan berusia 16 tahun melalui aplikasi WhatsApp, seorang usahawan kosmetik yang sebelum ini mengaku tidak suka menunaikan solat dipercayai telah memukul remaja itu.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam di rumah mereka di Kampung Pauh di sini, remaja berkenaan dipercayai turut dipukul oleh bapa tirinya yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, insiden itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan bengkak pada bahagian kepalanya akibat ditampar oleh bapa tirinya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, sebelum kejadian berlaku, mangsa telah dipanggil oleh ibunya yang berusia 33 tahun selepas tidak berpuas hati dengan status melalui WhatsApp yang dimuat naik remaja berkenaan.

Katanya, apabila keluar dari bilik, ibunya telah memarahi remaja itu dan dia diheret oleh bapa tirinya sebelum menampar mangsa beberapa kali pada bahagian pipi.

“Selepas itu, wanita berkenaan telah bertindak memukul kepala anaknya menggunakan tangan. Ibu remaja itu kemudian telah cuba memukul mangsa dengan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada status yang dimuat naik mangsa mengenai ibunya yang mengungkit mengenai soal harta selain turut memarahi remaja berkenaan kerana tidak bekerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, siasatan mendapati status yang dimuat naik oleh mangsa telah dipadamkan.

Katanya, bagaimanapun, tiada sebarang ugutan jenayah yang dikeluarkan oleh ibu dan bapa tirinya semasa kejadian.

“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu mendapati dia mengalami bengkak pada bahagian kiri kepala, luka pada bahagian dalam pipi dan lebam pada beberapa anggota badan.

“Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama ibu, bapa tiri dan suaminya di rumah tersebut,” katanya.

Menurut Mohd. Nasaruddin, kedua-dua suspek telah ditahan pada pukul 9 malam tadi untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI