PETALING JAYA – Seorang daripada 50 juri program hiburan, All Together Now Malaysia (ATNMY), Tuju bersedia memberi kerjasama jika diminta untuk memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan program berkenaan berikutan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Tuju atau nama lengkapnya, Muhammad Azree Shah bin Awang Zamri menjelaskan proses rakaman program itu diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang cukup ketat.
Tuju, 25, berkata, rakaman berlangsung ketika negara berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada awal tahun ini.
“Rakaman untuk program itu sudah berakhir sebenarnya. Saya baca orang (netizen) naikkan isu yang orang tak boleh pergi masjid apa semua.
“Tapi rakaman itu sebenarnya memang dibuat ketika orang sudah boleh sembahyang berjemaah pada waktu itu,” katanya.
Ujar Tuju lagi, dia lebih selesa mengambil pendekaran berdiam diri daripda terus bercakap lebih terperinci tentang isu terbabit.
“Saya ambil pendekatan berdiam diri sebab memang saya tahu semuanya selamat (sepanjang proses penggambaran dijalankan) dan saya sedia beri kerjasama jika dipanggil pihak polis,” ujarnya pada sidang media virtual single terbaharunya berjudul Veto yang turut menampilkan Loca, MK dan DJ CZA semalam.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pihak polis akan memanggil 50 juri selebriti yang terbabit dalam rakaman program hiburan terbitan Astro baru-baru ini untuk siasatan lanjut.
Sehingga kini, Astro kekal dengan keputusan menunda tayangan program hiburan terbaharu All Together Now Malaysia (ATNM) sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.- K! ONLINE