fbpx

Ronaldo ‘mengamuk’ bantu Portugal benam Hungary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (tengah) menendang masuk bola untuk gol ketiga Portugal ketika menewaskan Hungary 3-0 pada aksi Kumpulan F, Euro 2020 di Arena Puskas, Budapest sebentar tadi. - AFP

BUDAPEST – Tiga gol dalam tempoh lapan minit memastikan Portugal memulakan kempen Kumpulan F Euro 2020 dengan langkah kanan apabila menewaskan Hungary 3-0 di Arena Puskas sebentar tadi.

Dua gol menerusi kapten, Cristiano Ronaldo dan Raphael Guerreiro meletakkan juara bertahan itu di kedudukan teratas kumpulan pada ketika ini dengan mengumpul tiga mata.

Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat dilakukan Ronaldo pada separuh masa pertama apabila pergerakannya dirantai oleh dua hingga tiga pemain lawan setiap kali bola berada di kakinya.

Kekebalan benteng pertahanan serta kecekapan penjaga gol pasukan tuan rumah, Peter Gulacsi juga banyak menafikan beberapa percubaan terbaik daripada Portugal.

Meskipun memiliki deretan peluang menerusi Ronaldo dan Diogo Jota, namun mereka gagal untuk menyudahkannya sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung separuh masa kedua, perlawanan semakin rancak apabila Hungary mula meningkatkan tempo permainan dan mereka hampir mengejutkan Portugal apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 menerusi Szabolcs Schon tetapi dibatalkan akibat ofsaid.

Empat minit berselang, Portugal memecah kebuntuan selepas Guerreiro meledak gol pembukaan sebelum Ronaldo menggandakan kedudukan pada minit ke-87 menerusi sepakan penalti.

Ketika perlawanan dilihat hampir berakhir dengan 2-1, Ronaldo yang juga pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or menambah derita Hungary apabila menjaringkan gol ketiga Portugal pada minit ke-92 selepas menggelecek beberapa pemain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI