NEW YORK – Satu analisis data Google Trends telah mengenal pasti perkataan yang paling kerap dieja silap di setiap negeri di Amerika Syarikat (AS) dengan ‘quarantine’ berada di tempat teratas di 12 buah negeri, lapor agensi berita UPI semalam.
Pakar-pakar daripada pembekal liputan internet dan telefon, AT&T menganalisis data Google Trends dari Mac 2020 hingga Mac 2021 untuk mengenal pasti perkataan paling biasa dicari di internet bermula dengan frasa ‘how to spell..’ atau ‘bagaimana untuk mengeja..’.
Data tersebut mendedahkan bahawa ejaan untuk perkataan ‘quarantine’ adalah paling banyak dalam enjin pencarian melibatkan melibatkan negeri Colorado, Connecticut, Indiana, Massachusetts, Minnesota, Missouri, Nevada, Oregon, Tennessee, Washington, Wisconsin dan Wyoming.
Analisis sama mendapati kesilapan paling biasa untuk ejaan ‘quarantine’ adalah ‘corn teen’.
Selain itu, ‘coronavirus’ pula adalah perkataan paling kerap silap dieja di Illinois, Michigan, New Jersey, Pennsylvania, Vermont dan Virginia Barat.
Perkataan lain yang termasuk dalam senarai tersebut ialah ‘favorite’ di negeri Georgia, Iowa, Kentucky, Maryland, New Mexico, Ohio dan Virginia di samping ‘Which’ di Alabama, Arizona, Louisiana, Oklahoma dan Carolina Selatan.
Tiga negeri bermasalah dalam mengeja ‘every’ iaitu Hawaii, Mississippi dan Montana. Tiga negeri lain terdiri daripada Nebraska, Dakota Utara dan Dakota Selatan pula mempunyai masalah untuk mengeja perkataan ‘believe’.
Antara perkataan lain yang kerap tersilap ejaan ialah ‘eighty’ (Alaska), ‘receive’ (Arkansas), ‘government’ (Delaware), ‘succeed’ (Washington, D.C.), ‘pharaoh’ (Florida), ‘piece’ (Idaho), ‘multiplication’ (Kansas), ‘watch’ (Maine), ‘exercise, (Carolina Utara) dan ‘confident’ (Texas). – Agensi