MEMILIKI rambut panjang beralun, susuk tubuh gagah berotot serta warna hitam yang berkilau membuatkan Frederik the Great dimahkotakan oleh media dan orang ramai sebagai World’s Most Handsome Horse (Kuda Paling Tampan Di Dunia).
Kuda jantan berusia 19 tahun itu mula mendapat perhatian dunia pada tahun 2016 apabila orang ramai berkongsi gambarnya di internet sehingga cerita mengenai haiwan tersebut tular di media sosial.
Sejak itu, peminat Frederik semakin bertambah dan haiwan itu yang memiliki laman Facebook sendiri itu telah diikuti seramai 101,905 orang.
Nama Frederik the Great diambil bersempena nama Raja Prusia di Berlin, Jerman pada abad ke-18.
Frederik mampu memukau sesiapa sahaja setiap kali ia berlari kencang dengan rambut ikal mayangnya beralun ditiup angin, bulu-bulu ekornya yang cantik dan gerakan badan berotot sasa.
Salah seorang netizen dikenali sebagai Lilli Stanard berkata, rambut kuda itu lebih cantik daripada rambutnya sendiri.
“Saya sangat cemburu melihat rambutnya yang sangat cantik dan berharap dapat memiliki rambut seperti itu.
“Frederik adalah makhluk yang sangat menakjubkan,” tulisnya di ruangan komen media sosial.
Tambah Stanard, kuda itu merupakan karya seni yang sangat gah dalam bentuk makhluk hidup sehingga sesiapa sahaja tidak akan melepaskan pandangan untuk melihat ketampanannya.
Lebih mencuit hati, ada yang menggelarkannya Jason Momoa iaitu pelakon Amerika Syarikat (AS) kerana mempunyai badan berotot dan berambut panjang ikal mayang seperti aktor itu.
Kuda jantan juga dikatakan mempunyai rambut hitam pekat beralun seperti bintang filem Game of Thrones, Kit Harrington dan badan sasa seperti Brad Pitt.
Di samping itu, bentuk badannya yang menyerupai anjing Labrador berona hitam membuat Frederik turut digelar The Labrador in Hooves.
Frederik yang merupakan kuda baka Friesian berasal dari Friesland, Belanda itu telah dibiakkan di pergunungan Ozarks, Arkansas, AS dan kini tinggal di situ bersama pemiliknya, Stacy Nazario.
Kuda baka Friesian itu menjadi kebanggaan rakyat Belanda kerana memiliki kepantasan dan kekuatan fizikal.
Pada abad kelima hingga 15, ia menggalas peranan sebagai kuda perang yang digunakan di seluruh Eropah.
Selain itu, Friesian juga digunakan untuk melakukan kerja pertanian, perarakan dan kereta kuda.
Menurut Nazario, Frederik mempunyai perwatakan sangat manis, lembut, manja, mesra dan mempesona.
“Frederik yang mempunyai personaliti menarik dan penampilan memukau telah memikat hati penonton dari seluruh dunia.
“Ia suka mengeluarkan suara rengekan yang kuat bagi mengumumkan kehadirannya ketika memasuki arena pertunjukan,” ujar wanita itu.
Jelasnya lagi, Frederik suka menunjukkan ketampanannya, seronok dikelilingi orang ramai serta gemar diberikan ciuman.
Frederik sangat menyukai peminatnya dan sibuk menjalani hidup bersosial bersama mereka serta aktif di media sosial dengan rakaman gambar mengikuti pelbagai aktiviti.
“Orang ramai sanggup terbang dari seluruh negara semata-mata ingin melihatnya.
“Sebaik sahaja anda melihat Frederik secara peribadi, maka akan terjalinlah hubungan baharu dengan kuda ini,” katanya.
Populariti Frederik menjadi semakin meningkat apabila jurugambar AS, Cally Matherly merakamkan fotonya dan tular di seluruh dunia.
Gambar-gambar tersebut bahkan dijual secara online di kedai-kedai galeri seni yang menawarkan potret kuda itu secara cetakan kanvas selain dijadikan beberapa barangan lain.
Bukan sahaja mempunyai rupa paras yang kacak, kuda itu juga sangat fotogenik dalam setiap bidikan gambar.
Sehubungan itu, ketampanan dimiliki Frederik telah menjadikannya baka kuda Friesian yang paling banyak dirakamkan gambar sekali gus menjadi signatur baka tersebut.
Mengulas mengenai penampilan Frederik, Nazario berkata, gaya kuda itu bervariasi bergantung kepada jadual dan musim.
Di sebalik penampilan kacak bergaya, kuda itu perlu menjalani rutin penjagaan diri yang sangat padat dengan mengikuti sesi rias, penjagaan pemakanan serta senaman.
“Bagi membersihkan rambut termasuk mengering dan merapikannya memerlukan masa dua hingga tiga jam.
“Rutin ini dilakukan oleh pekerja-pekerja saya yang akan membersihkan rambut sepanjang 182 sentimeter itu serta ekornya,” tuturnya sambil memaklumkan semua itu dilakukan di kandang mewah Frederik.
Jelasnya, dua orang petugas akan menguruskan bahagian rambut, manakala seorang lagi akan memberi perhatian untuk merapikan ekor.
Petugas-petugas itu akan meletakkan syampu dan akhir sekali perapi untuk menjaga kecantikan rambut serta ekor kuda tersebut.
Penjagaan rambut itu penting kerana menjadi salah satu aset ketampanannya.
Terang wanita itu, ketika kerja-kerja membersihkan dan merapikannya, Frederik akan ditambat dengan lembut menggunakan dua utas tali supaya kepalanya tidak terlalu banyak bergerak.
“Kami menggunakan bergelen-gelen air untuk membasuhnya dan semua orang akan basah kuyup tetapi ia sangat menyeronokkan. Seperti kuda baka Friesian lain, Frederik juga memerlukan banyak penjagaan dan perhatian terutama musim panas kerana kulit hitamnya boleh menjadikan ia terlalu panas,” ulasnya.
Justeru, pada musim panas, kuda itu banyak menghabiskan masa di dalam kandang sambil dibantu beberapa pekerja yang akan merawat serta menjaga kecantikan rambut dan ekornya secara lebih rapi berbanding musim lain.
Nazario memberitahu, mereka memberikannya diet pemakanan organik terbaik yang mengandungi vitamin, mineral, buah kering, sayur-sayuran dan jerami muda.
Mengenai makanan kegemaran Frederik, Nazario memberitahu, ia sangat suka makan semua jenis biskut kuda yang diperbuat daripada bahan semula jadi.
Frederik bukan sahaja istimewa kerana ketampanannya tetapi ia adalah kuda jantan baka Friesian yang hampir pupus sebanyak tiga kali dalam sejarah.
Ini sekali gus menjadikannya haiwan yang jarang ditemui dan sukar untuk mendapatkan kuda baka itu, malah harganya juga sangat mahal.
Sehubungan itu, terdapat beberapa usaha pembiakan dilakukan bagi memastikan baka kuda tersebut tidak pupus dan salah satunya dilaksanakan di pergunungan Ozarks.
Kuda Friesian yang boleh mencapai ketinggian sehingga 173 sentimeter itu adalah makhluk gergasi di pergunungan Ozarks yang gemar mengembara dan beraksi dalam pelbagai pertunjukan.