fbpx

Pelan strategik tiga tahun mentransformasikan BCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BCorp akan mengenal pasti 60 syarikat lengai di bawah pengurusannya untuk ditutup selepas melalui proses audit.

PETALING JAYA – Berjaya Corporation Bhd. (BCorp) me­nyasarkan untuk menjadi sebuah organisasi terinstitusi berprestasi tinggi menjelang tahun 2024 melalui pelan strategik tiga tahun yang bakal dilaksananya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Jalil Rasheed berkata, pelan itu akan mentransformasikan BCorp kepada kumpulan syarikat berasaskan pengguna dengan segmen perniagaan teras berfokus yang mana setiap bahagian akan diterajui ketua sektor dengan pemantauan daripada beliau sendiri.

Menurut Jalil, fokus tersebut adalah untuk lima segmen pernia­gaan.

Ia terdiri daripada segmen runcit dengan fokus pemasaran pengguna dan pengedaran; makanan dan minuman (francais makanan dan perdagangan makanan); hartanah (pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan perumahan mampu milik); hospitaliti (hotel dan resort serta kelab rekreasi) serta perkhidmatan (pemainan video, alam sekitar, perkhidmatan digital dan teknologi kewangan).

“Proses ini akan mengoptimumkan sumber kami dengan lebih baik, meningkatkan sinergi dan kecekapan dalam kumpulan serta menambah baik pentadbiran korporat dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Jalil, proses penstrukturan semula kumpulan itu akan melibatkan potensi penggabungan dan pemerolehan, usaha sama dan penyenaraian yang melibatkan sebanyak lima hingga enam syarikat.

Proses berkenaan turut melibatkan pemberhentian pela­buran untuk tempoh dua hingga lima tahun dengan sasaran pulangan RM2 bilion hingga RM5 bilion di samping menyasarkan jumlah hutang adalah sebanyak RM2.5 bilion untuk tiga tahun.

Pihaknya turut mengenal pasti 60 syarikat lengai (dormant) di bawah pengurusannya yang akan ditutup selepas melalui proses audit dan ketekunan wajar lain.

Tambah beliau, usaha pemberhentian pelaburan yang dicadangkan masih dalam pemerhatiannya yang mana masih belum ada jumlah khusus syarikat terlibat dapat diberikan.

“Ada syarikat yang akan kami jual, ia akan memberikan pulangan yang banyak dan ada yang tidak memberikan pulangan besar tetapi boleh ‘membersihkan’ syarikat dengan cukup, mengurangkan sumber supaya kami boleh fokus kepada perkara lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI