fbpx

Misteri kembar 10 berterusan, kekasih dakwa belum jumpa anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tsotetsi meragui kesahihan kelahiran kembar 10 itu selagi tidak melihat anak-anaknya dan Sithole. – African News Agency

PRETORIA, AFRIKA SELATAN – Teman lelaki kepada wanita yang didakwa melahirkan bayi kembar 10 mendedahkan keraguan tentang kesahihan kelahiran tersebut selepas gagal mengenalpasti lokasi wanita itu buat masa ini, lapor portal MailOnline semalam.

Tebogo Tsotetsi, mengakui dia tidak berjumpa dengan teman wanitanya, Gosiame Sithole dan ‘bayi-bayi’ tersebut sejak wanita itu menghebahkan berita kelahiran kembar 10 itu pada 8 Jun lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga bagi pihak Tsotetsi mendedahkan bahawa lelaki itu beberapa kali pernah mencuba menghubungi Sithole, namun wanita itu tidak memberitahu lokasinya.

“Tsotetsi mengesahkan dia belum pernah melihat kesemua bayi itu dan hanya mendapat tahu mengenai kelahiran mereka daripada Sithole.

“Dia pernah cuba untuk melawat Sithole dan bayi-bayinya beberapa kali, namun wanita itu tidak mendedahkan lokasinya dan keadaan bayi-bayi tersebut.

“Ketidaktentuan dan pendedahan mengenai kembar 10 itu adalah kebimbangan terbesar keluarga ini, terutamanya dalam keadaan tiada bukti yang mengatakan bayi-bayi itu telah lahir,” ujar kenyataan tersebut.

Spekulasi mengenai kesahihan berita kelahiran kembar 10 itu mula dipersoalkan selepas sebilangan besar hospital di Pretoria mengakui tiada rekod kelahiran tersebut dan tidak pernah menyambut mana-mana kelahiran kembar 10 seperti yang didakwa Sithole.

Selain itu, wanita tersebut turut memohon bantuan daripada orang ramai untuk menyumbangkan barangan kelengkapan bayi bagi membesarkan anak-anaknya.

Tsotetsi bagaimanapun meminta orang ramai agar berhenti memberi sumbangan wang tunai kepada Sithole sehingga terbukti dia benar-benar telah melahirkan bayi-bayi itu.

Pada minggu lepas, ibu saudara bayi-bayi tersebut tampil mengesahkan kelahiran itu dan mendakwa anak-anak saudaranya sedang bertarung nyawa di sebuah hospital di Afrika Selatan. 

Bagaimanapun, tiada doktor mengakui pernah merawat wanita itu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI