MASIH ingat negara Itali. Sektor kesihatan di negara Eropah dengan populasi lebih 60 juta penduduk ini pernah lumpuh gara-gara pandemik Covid-19.
Sekitar bulan Mac tahun lalu, seluruh masyarakat dunia tertumpu kepada negara ini. Ada yang terkejut, malah ramai juga yang menggelengkan kepala.
Paparan gambar-gambar pengebumian yang menyayat hati dan kisah-kisah tragis mengenai nasib malang rakyat Itali menjadi bahan perbincangan global.
Kemuncak kepada krisis kesihatan di negara itu berlaku pada 13 November 2020 apabila sebanyak 41,195 kes positif dilaporkan dalam sehari! Angka kematian harian tertinggi yang pernah direkodkan adalah seramai 993 orang.
Bagaimanapun, sehingga kelmarin (13 Jun 2021), kes harian di Itali hanya sekitar 1,390 kes. Hal sama berlaku di kebanyakan negara Eropah ketika ini. Pandemik Covid-19 seolah-olah sudah reda.
Buktinya, banyak kejohanan sukan bertaraf tinggi telah dilangsungkan semula di seluruh Eropah. Itali sendiri menjadi tuan rumah bersama dalam Kumpulan A bagi Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 yang bermula minggu lalu.
Perancis pula dengan jangkitan harian sekitar 3,000 kes baru selesai melangsungkan kejohanan tenis bertaraf Grand Slam iaitu Terbuka Perancis.
Sesuatu yang menarik, penganjuran kejohanan-kejohanan mega ini bukan diadakan di stadium kosong, sebaliknya dihadiri ribuan penonton. Mereka berpesta, bersorak dan meraikan kejayaan bersama-sama.
Di Malaysia, suasananya agak berbeza. Pergerakan rakyat dibataskan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang kini memasuki minggu ketiga.
Ini bermakna, tiada sebarang sorakan di kedai-kedai mamak bagi peminat bola sepak tempatan. Tiada juga pesta menjual jersi-jersi bola seperti yang berlaku sebelum ini. Semua tersekat dan Malaysia jadi sunyi selepas pukul 8 malam.
Benar, ini bukan apa yang kita mahukan, tetapi inilah cara terbaik untuk kita kembali seperti dahulu. Berpesta, bersorak di stadium dan lepak di kedai mamak sehingga larut malam bukan lagi pilihan buat masa ini.
Kita perlu patuh, patuh dan patuh kepada setiap arahan kerajaan. Kita boleh lakukan bersama-sama dan menjadi seperti negara Itali.
Ironinya, selepas tiga minggu PKP Penuh dilaksanakan, kes jangkitan harian negara mula menunjukkan penurunan. Ia berita baik buat seluruh rakyat yang jujur.
Di samping kita mengawal pergerakan, jangan dilupa tanggungjawab untuk mendapatkan suntikan vaksin. Sekurang-kurangnya kita mempunyai perlindungan untuk melawan penularan Covid-19.
Kita perlukan kebebasan hakiki bukan untuk berpesta semata-mata, tetapi lebih daripada itu adalah untuk keluar mencari rezeki. Percayalah, ramai yang susah di luar sana dan rakyat perlu banyak bersabar.
Presiden pertama Indonesia, Soekarno ada berkata, sebelum kamu mengeluh tentang rasa daripada makananmu, fikirkan dahulu tentang seseorang yang tidak punya apa pun untuk dimakan. -K! ONLINE