SEBERANG PERAI – Lima lelaki dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan berkunjung ke sebuah gimnasium di Jalan Bagan Luar, Butterworth di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ia membabitkan seorang penjaga premis dan empat pengunjung dalam pemeriksaan pihaknya kira-kira pukul 5.40 petang.
Beliau berkata, pemilik dan penjaga premis berusia 58 tahun dikompaun RM10,000, manakala pengunjung berusia 36 hingga 52 tahun masing-masing dikenakan kompaun RM2,000.
“Ketika operasi, terdapat lima lelaki sedang bermain gim dan mereka didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
“Mereka dikenakan kompaun di bawah PU(A) 265 Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya meminta orang ramai agar sentiasa berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar.
“Ia termasuk tidak membuka atau berkunjung ke gimnasium yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu bagi memastikan rantaian virus Covid-19 dapat diputuskan,” katanya. – K! ONLINE