NEW YORK – Korea Utara mencatatkan kekurangan sebanyak 860,000 tan makanan, dan situasi itu dijangka memburuk pada Ogos ini, lapor laman berita United Press International semalam.
Menurut laporan yang dikeluarkan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara komunis itu mempunyai pelan rasmi untuk mengimport sebanyak 205,000 tan makanan dengan pengeluaran tanaman makanan agregat dijangka mencecah kira-kira 5.6 juta tan.
Bagaimanapun, bekalan makanan berkemungkinan tidak mampu menampung jumlah populasi penduduknya.
“Perbezaan makanan dijangka mencecah kira-kira 860,000 tan, bersamaan dengan 2.3 bulan bekalan makanan,” ujar laporan tersebut.
Penghasilan beras yang merupakan makanan utama penduduk negara itu mencatatkan 10 peratus di bawah paras purata lima tahun, dengan penurunan pengeluaran tertinggi direkodkan di wilayah Selatan Pyongan Selatan, Hwanghae Selatan dan Utara serta Hamgyong Utara dan Selatan.
Menurut FAO, wilayah-wilayah tersebut membentuk kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran beras negara it.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un mengakui situasi bekalan makanan Korea Utara kini agak tegang, lapor agensi berita KCNA.
Dalam satu pertemuan Parti Pekerja Korea, Jong-un mengatakan ekonomi meningkat tahun ini dengan output industri meningkat 25 peratus dari tahun sebelumnya.
“Situasi ini disebabkan beberapa cabaran berbeza. Antaranya adalah sektor pertanian gagal memenuhi rancangan pengeluaran bijirinnya akibat bencana taufan tahun lalu,” katanya
Beliau telah mengarahkan langkah-langkah untuk meminimumkan kesan bencana alam dengan mengatakan bahawa memastikan hasil tuaian yang baik adalah keutamaan kerajaan. – Agensi