PETALING JAYA – Penyanyi Datin Alyah memohon orang ramai mendoakan kesembuhan kakak dan anak saudaranya yang dijangkiti Covid-19.
Alyah menerusi Instagram memberitahu, hatinya luluh tatkala mendapat khabar berita duka tersebut dan menyifatkan dugaan yang diterima ahli keluarganya itu cukup berat.
“Berat dugaan kakak ku Ya Allah dan aku hanya mampu berdoa dari kejauhan.
“Sesungguhnya aku buntu kerana aku tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa.
“Kakak ku sekarang berada di wad Covid-19 dan terpaksa ditidurkan kerana kesukaran bernafas, abang iparku dikuarantin, seorang anak saudaraku dikomakan dan tiga anak saudara yang lain dikuarantin di rumah,” tulisnya.
Tambah pelantun lagu Sesal Separuh Nyawa itu, jangkitan tersebut berpunca dari sebuah kilang di Gelang Patah, Johor tempat keluarga kakaknya berniaga makanan.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 40, turut menyeru kepada pihak berkenaan supaya menghentikan operasi kilang buat sementara waktu.
“Saya benar-benar harap kilang-kilang yang tidak sepatutnya beroperasi ditutup sementara wabak ini tidak dapat dibendung.
“Kakak berniaga di kafe sebuah kilang di Gelang Patah. Sewaktu keputusan kedua anak saudara positif Covid-19, kilang perabot itu masih beroperasi,” katanya. – K! ONLINE