fbpx

Makanan halal Got Kimchi? laris di Shopee  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yana bersama produk makanan halal Korea jenama Got Kimchi? yang diusahakannya menerusi kedai maya Shopee.

PETALING JAYA – Seorang bekas juruteknik makmal, Yana Azmi Tan hanya menggunakan modal RM200 untuk memulakan perniagaan makanan halal yang diinspirasikan daripada hidangan dari Korea.

Bermula dengan menjual secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan, wanita berusia 35 tahun ini kini memiliki aspirasi untuk menjana jualan sehingga  enam angka setiap bulan menerusi entiti perniagaannya, Got Kimchi Enterprise (Got Kimchi).

Berlatar belakangkan sebagai ahli mikrobiologi, perniagaan tersebut pada peringkat awal hanyalah untuk memenuhi masa lapang dan pada masa sama, membantu mengalih perhatian Yana daripada kerjayanya yang begitu mencabar.

“Interaksi saya dengan manusia lain amat terhad kerana bekerja bersendirian di makmal. Setiap hari saya akan menerima sampel bakteria daripada penyalur vakum, membuat kajian dan menghantar hasilnya juga melalui penyalur vakum.

“Memandangkan keluarga saya menggemari kimchi, saya selalu membuatnya dengan berpandukan You Tuber Korea popular seperti Maangchi dan Seonkyoung Longest. Setiap kali membuat kimchi, saya akan menyiarkannya di media sosial.

“Dari situ, ramai rakan-rakan yang tertarik dan selepas mencuba, mereka menyarankan supaya saya menjualnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Yana turut ke Korea bagi mempelajari teknik penghasilan makanan di negara itu secara lebih mendalam.

Bermula dengan sokongan daripada rakan-rakan yang banyak membantu mendapatkan pesanan daripada kenalan mereka, Yana mula serius dalam bidang tersebut.

“Saya memulakan perniagaan ini dengan modal RM200. Wang itu digunakan untuk membeli tiga biji kubis dan ramuan lain seperti serbuk cili, sos ikan, tepung beras dan garam,”jelasnya.

Apabila permintaan semakin meningkat, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan  mengambil kursus fermentasi makanan sebelum ke Korea untuk mempelajari teknik pembuatan kimchi dan sos Korea yang betul.

Yana juga mula mencari pembekal lebih besar kerana skala perniagaannya yang semakin berkembang menyebabkan kos membeli bahan mentah dari pasar raya tidak lagi berdaya maju.

“Makanan Korea mempunyai rasa yang tersendiri dan rasa itu datangnya daripada ramuan yang digunakan. 

“Misalnya, sos ikan Korea yang banyak digunakan dalam pembuatan Kimchi mempunyai aroma buah berbanding sos ikan Thailand yang baunya lebih menyengat. 

“Contoh lain adalah Gochugaru (serpih lada merah Korea), yang mana rasanya lebih manis dan mempunyai warna merah yang lebih terang berbanding serpih cili lain yang banyak terdapat di Malaysia,” ujar Yana.

Selepas perniagaannya semakin maju, Yana membina sebuah bengkel penghasilan makanan halal Korea bersebelahan kediamannya di Kuala Langat dengan modal RM55,000.

Yana mengambil masa setahun untuk mengembangkan rangkaian produk makanan Korea halal yang dijenamakan sebagai Got Kimchi?

Setelah jenama tersebut semakin popular di media sosial, beliau menerima banyak pesanan daripada pelanggan.

Namun jelasnya, perniagaan menerusi media sosial sedikit sukar kerana banyak masa perlu dihabiskan untuk melayan kerenah pelanggan menyebabkan beliau mula meneroka platform e-dagang.

“Tingkah laku pelanggan di media sosial adalah unik. Kami perlu membalas beberapa perbualan dan permintaan pesanan langsung (DM) hanya untuk mendapat satu jualan ketika mengendalikan ratusan pesanan setiap hari.

“Saya kemudiannya memutuskan untuk membuka kedai maya melalui platform e-dagang. Setelah semua kajian, Got Kimchi memilih Shopee kerana proses di platform ini adalah sekurang-kurangnya lima kali lebih mudah berbanding platform lain,” katanya.

Yana berkata, berbanding menjual di Facebook dan Instagram, para pembeli saluran e-dagang lebih berdikari kerana sistem e-dagang adalah lebih intuitif buat pengguna. 

“Pelanggan akan membuat pembelian jika mereka menyukai penerangan produk dan membaca ulasan yang baik.

“Terdapat juga beberapa pesaing yang menjual produk serupa, jadi kami berusaha bersungguh-sungguh mempromosikan kedai dan produk kami secara online, mendapatkan seberapa banyak ulasan pelanggan yang boleh dan memastikan kedai kelihatan menarik serta informatif dengan video dan visual berkualiti tinggi,” tambahnya.

Yana menunjukkan cara penghasilan kimchi yang menggunakan bahan utama kubis dan pes cili.

Setelah tiga tahun beroperasi, kedai Shopee Yana kini mempunyai lebih daripada 35,100 pengikut dan berjaya mengekalkan penilaian pada purata 4.9 bintang secara konsisten daripada lebih 27,900 pelanggan.

Ia mendapat pengiktirafan Preferred Seller setelah memenuhi kriteria prestasi Shopee yang menilai jumlah pengikut kedai, pesanan bersih, ketulenan produk, kelajuan bertindak balas dan mengekalkan penilaian kedai sekurang-kurangnya 4.7 bintang daripada lima bintang.

Status itu memberikannya akses kepada Pengurus Perhubungan atau Pengurus Akaun di Shopee, yang memberikan lebih banyak bimbingan tentang cara mengembangkan perniagaan.

“Kami mendapat sekitar 100 pesanan sehari, namun jualan akan meningkat setiap kali kami mengambil bahagian dalam ‘hari penghantaran percuma’ sewaktu kempen dua digit yang berlangsung setiap bulan.

“Semasa kempen Shopee 6.6 Jualan Hebat baru-baru ini, jualan harian kami meningkat kepada 1,100 pesanan,” katanya.

Selain Shopee sebagai platform jualan secara online utama, Yana turut membekalkan produk-produk masakan Korea ke kafe, pasar mini dan pemborong.

Produk Got Kimchi? kini boleh didapati di https://shopee.com.my/got.kimchi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI