KUANTAN – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang menyediakan kira-kira 25,300 bakul makanan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di 328 penempatan dan kampung di negeri ini yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jakoa negeri, Johari Alwi berkata, agihan bakul makanan berkenaan dilakukan secara berperingkat bermula minggu lalu melibatkan semua kampung tradisional dan Rancangan Penempatan Semula (RPS) di seluruh negeri ini.
“Saya memberi jaminan agihan bakul makanan ini akan dilakukan secepat mungkin dalam usaha meringankan beban masyarakat Orang Asli yang turut terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0.
“Ramai Orang Asli kini tidak dapat bekerja dan tidak dapat memasarkan hasil hutan menyebabkan pendapatan mereka terputus pendapatan malah untuk keluar membeli barangan keperluan juga terbatas,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Johari sehingga kini pejabat Jakoa daerah telah mengagihkan lebih 700 bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di beberapa penempatan di Lipis, Bera, Cameron Highlands, Maran dan Muadzam Shah.
Katanya, penghantaran bantuan manakanan berkenaan terpaksa dilakukan secara berperingkat kerana faktor kedudukan penempatan Orang Asli jauh di kawasan pendalaman yang memerlukan masa untuk sampai selain turut menggunakan pengangkutan air.
Beliau memberitahu antara barangan yang dibekalkan ialah seperti beras, minyak masak, tepung, gula, kicap, sardin dan garam yang dapat meringankan beban mereka yang mungkin terputus makanan.
“Saya difahamkan ramai masyarakat Orang Asli di negeri ini terkesan dengan PKP tahun ini sehingga memaksa mereka melakukan pelbagai aktiviti untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga masing-masing.
“Jakoa sentiasa berusaha membantu golongan terbabit dalam memastikan mereka tidak terus menerus tertekan dengan apa yang berlaku seluruh negara kini,”ujarnya. – K! ONLINE