fbpx

Hormati mekanisme semak, imbang tiga cabang kuasa negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dewan Rakyat.

PETALING JAYA – Raja-Raja Pemerintah berpendirian bahawa pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, ia bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan serta perbelanjaan negara.

“Dalam semangat tersebut, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Danial berkata, kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid-19 wajar diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI