fbpx

Gaya pelik Uyaina Arshad, pakai 18 sarung tangan, baju berlapis-lapis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAYA pelik Uyaina menerusi drama Love Elsa.

PETALING JAYA – Demi menjayakan watak Ammara menerusi drama terbaharunya, Love Elsa, pelakon Uyaina Arshad sanggup berfesyen pelik dan bertukar-tukar sebanyak 18 pasang sarung tangan sepanjang 65 hari penggambaran.

Menurut Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, sarung tangan pelbagai warna itu disesuaikan dengan setiap penampilannya dalam drama arahan Michael Ang itu.

“Watak Ammara ialah seorang wanita yang pelik. Dia dapat membaca memori lampau orang yang bersentuhan dengannya. Jadi, fesyen dengan sarung tangan memang direka oleh penata gaya drama tersebut, Abu Shaef Hamza,” ujar Uyaina.

Selain itu, buat pertama kalinya Uyaina terpaksa memakai pakaian berlapis-lapis ketika penggambaran drama.

“Penggambaran banyak dilakukan di Langkawi, Kedah. Bayangkan dalam keadaan panas, saya memakai pakaian berlapis-lapis siap dengan sarung tangan. Memang panas dan memenatkan, tetapi apabila melihat warna serta hasilnya dalam drama memang berbaloi.

“Sebaik habis penggambaran, saya bersyukur kerana tidak perlu lagi memakai pakaian berlapis-lapis. Sejujurnya, saya bukan sahaja akan mengingati karakter dan jalan cerita, tetapi pakaian dalam drama ini juga,” kongsinya ketika ditemu bual dalam sidang media secara dalam talian sebentar tadi.

Meskipun fesyen tersebut terlihat segar, Uyaina bersikap terbuka andai terdapat peminat mengkritik cara pakaiannya dalam drama Love Elsa yang telah ditayangkan menerusi slot Megadrama, saluran Astro Ria bermula semalam.

“Pemakaian dalam drama Love Elsa merupakan sesuatu yang segar, berbeza dengan watak-watak saya dalam drama sebelum ini. Selama saya berlakon, saya tidak pernah memakai fesyen sedemikian.

“Ada penonton yang suka kerana menampikan sesuatu yang baharu, tetapi mungkin ada yang berasa pelik. Namun, saya tidak kisah terpulang kepada pandangan masing-masing,” ujarnya lagi.

Sungguhpun meraih banyak pujian daripada peminat yang suka melihatnya dengan gaya berkenaan, Uyaina secara peribadi tidak akan mengayakan fesyen tersebut kerana tidak bersesuaian dengan gaya harian dan cuaca tempatan.

“Buat saya untuk bergaya seperti itu di luar daripada drama, mungkin tidak. Hal ini kerana, gaya tersebut tidak sesuai untuk dijadikan pakaian harian.

“Namun, jika untuk menghadiri acara hiburan atau fesyen dan saya mahu lebih menyerlah daripada kebiasaannya, gaya seperti itu sesuai digayakan,” tutur Uyaina.

Drama Love Elsa yang merupakan sebuah drama adaptasi nukilan Acik Lana dengan judul sama turut dilakonkan oleh Zul Ariffin, Riz Amin, Ramona Zam Zam, Iman Suhana, Mona Allen, Badrul Muhayat, Mustapha Kamal, Zeera Azizi, Ikhram Juhari dan Nasz Sally. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI