PRINSIPAL pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali bersedia mengotakan janjinya untuk memberi slot kepada pelumba negara untuk bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan.
Tegas Razlan, beliau teruja melihat prestasi pelumba muda negara, Syarifuddin Azman yang mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol kelmarin.
Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok yang bermula di petak ke-10 melakukan kejutan muncul juara dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat selepas bijak mengambil peluang memintas pelumba lain di pusingan terakhir.
“Bagi saya, Damok sudah matang dari segi tunggangannya selepas dua tahun bersaing dalam perlumbaan CEV. Dia juga berada dalam pasukan yang bagus dan turut berjaya meletakkan diri di posisi yang tepat pada perlumbaan itu.
“Apa yang dipamerkan pada perlumbaan ini, Damok begitu baik mengawal jentera dan bersabar sebelum menunggu peluang untuk muncul juara. Ini adalah hasil yang baik dipamerkan Damok bersaing dalam saingan kompetitif seperti ini.
“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.
“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” katanya kepada Kosmo! semalam.