SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memastikan keselamatan dan kebajikan 2,067 penuntutnya terjamin sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus induk itu bermula 13 Jun lalu hingga 26 Jun depan.
Universiti itu dalam satu kenyataan di sini hari berkata, sepanjang tempoh tersebut, penuntut diberikan makanan percuma sebanyak tiga kali sehari serta bantuan makanan kering.
“Bagi yang memerlukan perkhidmatan pembelian barangan keperluan harian atau bahan mentah, mereka akan dibantu pihak pengurusan Inapan Siswa (Inasis) dan Pusat Penginapan Pelajar,” katanya.
Kata kenyataan itu, penuntut dalam kawasan PKPD UUM melibatkan seramai 1,823 penuntut tempatan dan 244 penuntut antarabangsa bersama 55 ahli keluarga.
“Selain itu, terdapat 200 lagi yang merupakan kakitangan UUM bersama keluarga,” ujarnya. – K! ONLINE