KOTA BHARU – Seramai 110 daripada 1,616 penduduk di Kampung Kutan Tengah, Tumpat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Jumaat lalu disahkan positif Covid-19 sehingga hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes yang berlaku di kampung itu terdiri daripada varian jenis Beta (B.1.351) yang sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan.
Katanya, varian itu berkemungkinan menular di kampung tersebut apabila bilangan kes meningkat secara mendadak selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan terhadap semua penduduk di situ.
“Ini kerana, varian Beta itu sebenarnya sudah ada dan menular dalam komuniti di negeri ini. Bagaimanapun, tiada kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di kawasan PKPD itu setakat ini.
“Sehubungan dengan itu, JKNK akan menjalankan ujian saringan Covid-19 kalo kedua untuk penduduk kampung bagi memastikan individu yang disahkan positif bebas daripada jangkitan Covid- 19 selepas ini,” katanya pada Program Outreach Vaksinasi Kakitangan Penjara Dan Keluarga Jajahan Kota Bharu di Dewan Tan Sri Murad, Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Kampung Kutan Tengah dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 11 hingga 24 Jun ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.
Sebelum ini, hanya 25 orang penduduk kampung itu disahkan positif Covid-19 dan ia meningkat kepada 110 orang pada hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Zaini, penularan varian Beta di Kelantan dikesan berlaku di beberapa lokasi termasuk sebuah kilang di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Menyentuh mengenai perkembangan suntikan vaksin di negeri ini, ujarnya, pendaftaran Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dalam kalangan rakyat Kelantan meningkat kepada 47 peratus berbanding 33 peratus pada hujung bulan lalu.
“Daripada 1.2 juta rakyat Kelantan, seramai 150,000 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini. Kita menjangkakan seramai 6,000 hingga 8,000 penerima vaksin dalam sehari menjelang Julai ini.
“Berdasarkan keadaan dan jumlah stok vaksin, suntikan boleh diberikan kepada seramai 14,000 hingga 32,000 sehari. Kita sedang menuju ke arah jumlah tersebut tidak lama lagi jika pendaftaran vaksin menerusi PICK meningkat di Kelantan,” katanya. – K! ONLINE