fbpx

Yayasan KRU bantu golongan belia B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI program Kita Jaga Kita, golongan belia berpeluang mencipta kerjaya berbekalkan ilmu berkaitan industri kreatif dan ekonomi digital.

TERPANGGIL untuk membantu golongan yang memerlukan ketika pandemik Covid-19, Yayasan KRU telah melancarkan program Kita Jaga Kita sebagai satu tajaan latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat kepada golongan belia B40.

Menurut Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, pihaknya cuba membantu golongan belia mencipta peluang kerjaya dengan membekalkan ilmu berkaitan industri kreatif dan ekonomi digital.

“Program ini dibahagikan kepada tiga fasa. Pertama menyediakan latihan jangka pendek secara online bagi bidang-bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan ekonomi digital. 

“Fasa kedua adalah membimbing pelatih menjadi selebriti media sosial untuk memulakan perniagaan atau memajukan perniagaan yang sedia ada.

“Kami juga akan membantu daripada segi modal perniagaan, penjenamaan, penyediaan platform jualan secara digital dan fizikal,” jelas Norman.

Beruntungnya, Yayasan KRU turut mendapat kerjasama daripada AEON Co Malaysia Berhad dan Majlis Belia Malaysia untuk menjayakan program Kita Jaga Kita.

“Saya yakin dengan adanya bantuan AEON Co Malaysia Berhad dan Majlis Belia Malaysia, kami dapat merealisasikan misi dan visi program bagi membantu ekonomi golongan belia. AEON misalnya, boleh membantu daripada segi penjenamaan, penjualan produk dan pelbagai perkara berkaitan keusahawanan,” ujar Norman.

Selain daripada membantu golongan belia untuk meningkatkan ekonomi, Yayasan KRU menerusi program Kita Jaga Kita juga berfungsi sebagai perantara bagi pengumpulan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi baharu atau terpakai.

Peralatan yang dikumpul akan diedarkan kepada calon yang layak untuk tujuan pendidikan atau pembangunan keusahawanan. Oleh itu, Yayasan KRU mengalu-alukan segala bentuk sumbangan aset digital (tablet, komputer riba dan komputer meja) yang masih dalam keadaan baik, dihantar ke pejabat Yayasan KRU sepanjang tahun. 

NORMAN ABD. HALIM

Ikon media

Menariknya, program berkenaan turut mendapat kerjasama selebriti tanah air sebagai sukarelawan yang diangkat sebagai ikon media. Sehingga kini seramai 23 ikon media dengan jumlah pengikut terkumpul di media sosial lebih 15 juta orang telah memberikan kerjasama.

Antara selebriti yang terlibat ialah Adam, Zamani, Linda Rafar, Kumpulan VIP, Mior Zulkarnian, Dian Hashim, Fai Ramli, DJ Fateh, Timur, Winnie K, Denes Kumar dan Balan Kash. Tidak hanya membantu mempromosikan program dalam saluran media sosial masing-masing, mereka turut bergabung menyanyikan lagu berjudul Kita Jaga Kita.

“Saya bersyukur kerana sebagai ikon media saya dapat membantu golongan belia dengan mempromosikan program ini dalam media sosial. 

“Bagi saya kita boleh membantu orang dengan pelbagai cara. Difahamkan juga kutipan royalti lagu Kita Jaga Kita akan disalurkan sepenuhnya ke dalam program ini. Buat belia yang layak jangan lepaskan peluang untuk meningkatkan ilmu secara percuma,” kongsi Adam.

Buat mereka yang ingin memohon atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai program Kita Jaga Kita, anda boleh layari laman sesawang, www.yayasankru.org. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI