PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia mengalami kecederaan parah selepas ditikam suami sendiri akibat cemburu dalam satu kejadian di Sungai Ramal, Kajang di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 6.52 petang pada Ahad lalu.
“Mangsa merupakan seorang wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 40-an dan telah dimasukkan ke zon kritikal Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam dengan senjata tajam dirumahnya. Hasil pemeriksaan awal menemui kesan tikaman pada bahagian dada(4), tangan kiri(2), kaki kanan dan di bawah dagu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis kini sedang mengesan suspek utama yang juga suami mangsa dikenali dengan nama panggilan Johari atau Jo berusia dalam lingkungan 40-an.
“Siasatan awal mendapati, punca suspek bertindak menikam mangsa disebabkan wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Pihak Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. K! ONLINE.