PASIR MAS – Sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dengan kegiatan menyeludup 26 kampit beras siam dicekup selepas van yang dinaiki mereka ditahan polis di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan pada pukul 6 pagi, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM3,091 yang disyaki hasil jualan beras seludup daripada pasangan suami isteri berusia 42 dan 27 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sepasukan anggota Balai Polis Meranti telah melakukan rondaan di sekitar Jalan Tendong selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan itu.
Katanya, semasa pemantauan dilakukan, anggota pasukan berkenaan telah melihat dengan sebuah van jenis Nissan Vanette dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran polis, pemandu van itu telah memecut laju kenderaan dipandunya bagi meloloskan diri, namun pergerakan mereka berjaya dipintas oleh anggota polis.
“Pemeriksaan di dalam van itu telah menemui sebanyak 26 kampit beras seludup pelbagai jenama. nilai keseluruhan rampasan termasuk beras, wang tunai dan van dinaiki kedua-dua suspek dianggarkan berjumlah RM15,091.” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.-K! ONLINE