fbpx

Skuad kebangsaan perlu ulangi ‘aura 2019’ – Cheng Hoe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (tiga dari kiri) mahu anak-anak buahnya mengulangi aura 2019 menjelang perlawangan menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam ini.

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya mengulangi ‘aura 2019’ menjelang pertemuan menentang Thailand pada aksi terakhir peringkat Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam ini.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara menang di pentas antarabangsa adalah ketika menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk saingan awal Kumpulan G pada November 2019 sebelum pentas bola sepak Asia dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, prestasi skuad negara merudum rentetan kekalahan pada aksi pemanas badan menentang Kuwait (1-4) dan Bahrain (0-2), selain dua saingan peringkat kumpulan apabila tewas 0-4 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan 1-2 kepada Vietnam baru-baru ini.

Kata Cheng Hoe, pasukannya perlu mendapatkan segera formula seperti tahun 2019 yang mana skuad Harimau Malaya memiliki pengaruh tersendiri tidak kira ketika bertahan atau menyerang.

“Kita dapat lihat pasukan kembali ke landasan tepat pada pertemuan menentang Vietnam, tetapi ia masih belum sempurna kerana ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki.

“Ini kerana, apabila kita me­nguasai perlawanan sahaja tidak cukup, sebaliknya perlu mencipta lebih banyak peluang untuk mendapatkan gol dan situasi itu ada pada pasukan dua tahun lalu.

“Ketika itu, aura pasukan 2019 agak berbeza kerana kami dapat menyerang serta bertahan dalam satu pasukan yang saya percaya bakal memberi impak lebih positif. Saya harap situasi itu kita dapat saksikan semula esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe turut menyeru pemain negara agar berwaspada dengan ancaman skuad Gajah Perang kendalian Akira Nishino yang memiliki ramai pemain berkualiti dan boleh memberi kesukaran buat benteng negara.

“Kita telah saksikan aksi Thailand bertemu Indonesia dan UAE sebelum ini. Mereka masih kekal dengan corak permainan seperti yang kita tahu apabila mempunyai kebolehan serangan balas pantas.

“Beberapa pemain muda mereka juga memiliki kualiti individu yang baik seperti Suphanat Mueanta, Supachai Chaided dan Ekanit Panya yang perlu diberi perhatian khusus,” katanya.

Mengulas mengenai kesebelasan utama, Cheng Hoe me­ngakui akan ada rombakan, tetapi barisan kejurulatihan masih belum membuat keputusan rasmi.

“Memandangkan tiga pemain digantung perlawanan, ia membuka ruang buat pemain lain untuk disenaraikan seperti Arif Aiman (Hanapi) dan Syahmi (Safari), tetapi segalanya akan diputuskan sebelum saingan esok,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI