PUTRAJAYA – Pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini sehingga 28 Jun nanti adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pengoperasian itu merangkumi semua aktiviti seperti keberadaan pelajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kehadiran staf akademik dan bukan akademik.
“Lain-lain seperti pelaksanaan aktiviti pelajar, pelaksanaan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional serta kemasukan pelajar antarabangsa.
“Pihak IPT boleh merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pengajian Tinggi yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi tempoh PKP bertarikh 31 Mei lalu,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya lagi, semua warga pendidikan tinggi boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh PKP melalui bilik gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03- 8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. -K! ONLINE