SEREMBAN – Hasrat seorang peniaga kedai membaiki basikal untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 lebur apabila usahanya menekan pautan pinjaman di laman media sosial Facebook pada 7 dan 8 Jun lalu menyebabkan dia mengalami kerugian berjumlah RM 116,945.21.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab. Ghani berkata, pada 7 Jun lalu, kira-kira pukul 2 petang, ketika mangsa berada di rumah, mangsa telah melayari laman Facebook Hong Leong Bank Financing dan tertarik dengan pinjaman kadar rendah 1.38 peratus yang ditawarkan.
Menurutnya, mangsa iaitu seorang wanita berusia lingkungan 40-an telah menekan pautan yang tertera di laman berkenaan dan berhubung melalui whatApp dengan Jackie Ang di nombor telefon 011-11545107 serta telah diminta untuk menghantar butir-butir peribadi.
“Mangsa telah diminta untuk mengisi borang pemohonan secara atas talian dan diminta untuk menunggu selama tiga hari untuk kelulusan loan bank. 10 Jun lalu, mangsa telah mendapat emel yang menyatakan pinjaman mangsa berjumlah RM100,000.00 telah lulus.
“Mangsa diminta untuk membeli insuran bagi pinjaman peribadi tersebut sebanyak RM 1090.20 di akaun BSN dengan nombor akaun 0510441000197640 di bawah penama Muhamad Zaki Roslan bagi tempoh pinjaman ansuran selama lima tahun dan selepas itu pinjaman berkenaan akan diproses,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Aibee berkata, semasa proses kelulusan tersebut, mangsa diperdaya untuk menjelaskan beberapa bayaran berikutan terdapat masalah ke dalam tiga akaun dan telah melakukan beberapa transaksi sehingga semalam dengan jumlah kerugian bagi penipuan pinjaman tak wujud yang dipohonnya pada 7 Jun lalu itu sebanyak RM 42,425.21.
Menurutnya, bagi permohonan kali kedua yang dibuat mangsa pada 8 Jun lalu, mangsa tertarik pada tawaran di laman Facebook yang sama dan telah berhubung melalui WhatApp dengan Sharon Ang di talian 011-11558126.
“Mangsa diperdaya dengan cara yang sama dan melakukan beberapa transaksi ke lebih empat akaun. Pada permohonan kali ini, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM 74,520
“Sehingga sekarang mangsa masih diminta untuk membuat bayaran bagi pelbagai proses kelulusan pinjaman dan mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu lalu membuat laporkan polis di Balai Polis Mantin, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu atau menekan pautan yang diragui terutamanya membabitkan pinjaman peribadi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.-K! ONLINE