PUTRAJAYA – Malaysia sentiasa mengalu- alukan cadangan Qatar yang ingin membuka semula penerbangan terus dari Qatar ke Pulau Langkawi memandangkan pulau tersebut menjadi pintu masuk penerbangan antarabangsa termasuk Qatar Airways.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek rintis itu nanti diharap dapat memulihkan semula industri pelancongan di daerah itu.
Beliau berkata, perancangan projek perintis tersebut akan dilaksanakan setelah semua penduduk di situ mencapai tahap imuniti kelompok dan sempadan negara dapat dibuka semula.
“MOTAC sedang berusaha ke arah untuk menjadikan destinasi pelancongan Langkawi sebagai destinasi rintis untuk Program Covid-19 Free Destination dengan mensasarkan 80 peratus penduduk pulau tersebut mencapai tahap imuniti kelompok.
“Usaha ini juga sebagai persediaan awal untuk menyemarakkan industri pelancongan yang juga akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi-lokasi yang lain,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.-K! ONLINE