IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberikan penangguhan bayaran selama tiga bulan bagi beberapa pembayaran sebagai inisiatif meringankan beban pembayar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antaranya bayaran cukai taksiran penggal pertama, bayaran lewat sewaan rumah pangsa, pembaharuan lesen premis, iklan, komposit perniagaan dan lencana anjing 2021
Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia mengambil maklum situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara khususnya di bandaraya Ipoh.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan ini akan berkuatkuasa sehingga 31 Ogos dan tiada tindakan penguatkuasaan serta denda lewat dikenakan sepanjang tempoh tersebut.
“Moratorium ini bukan bertujuan pengecualian daripada bayaran tetapi lebih kepada memahami keperluan rakyat untuk berada di rumah dan terhad terhadap urusan di kaunter MBI secara fizikal untuk sementara.
“Bagaimanapun, MBI masih membuka saluran pembayaran secara online melalui website bagi mengelakkan sebarang tunggakan besar yang perlu dibayar oleh penyewa atau pembayar cukai,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE