PETALING JAYA – Pelakon Datin Lisa Surihani selamat melahirkan cahaya mata ketiganya iaitu bayi lelaki pada awal pagi tadi.
Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri suaminya, Datuk Yusry Abd. Halim menerusi satu hantaran dalam Instagramnya hari ini.
“Alhamdulillah. Lisa telah selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2.30 pagi tadi.
“Bayi dan ibu, kedua-duanya dalam keadaan baik. Syukur,” tulis Yusry.
Dalam hantaran itu juga, bekas anggota kumpulan muzik terkenal KRU itu turut menyifatkan kelahiran anak ketiganya sebagai hadiah hari jadi paling bermakna dalam hidupnya kerana berkongsi tarikh hari lahir yang sama (15 Jun).
“Hadiah hari jadi penuh bermakna. Selamat datang ke dunia junior (anaknya),” katanya.
Untuk rekod, Lisa dan Yusry yang mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 dikurniakan dua orang anak iaitu Yahaira Leanne, 6, Yusof Leonne, 4. – K! ONLINE