MUNICH – Pertahanan kental Jerman, Antonio Rudiger memberi amaran kepada Perancis bahawa mereka akan diberi layanan ‘istimewa’ menjelang aksi Kumpulan F Euro 2020 di Allianz Arena awal pagi esok.
Perancis dianggap pasukan pilihan untuk menjuarai saingan kali ini, namun Rudiger menegaskan, Jerman langsung tidak kisah dengan status lawan mereka yang merupakan juara Piala Dunia 2018.
Ujar pemain Chelsea itu, skuad Die Mannschaft juga sedia untuk menggempur benteng pertahanan Perancis bagi memastikan mereka memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.
“Atas kertas, Perancis dilihat pasukan yang lebih baik, namun itu semua hanya di atas kertas. Saya akui mereka adalah pasukan pilihan kerana memiliki barisan pemain yang baik.
“Kami juga sudah bersedia sepenuhnya untuk bertemu mereka pada perlawanan itu nanti. Semua pemain perlu bekerja keras serta buktikan apa yang kami mampu lakukan,” kata Rudiger.
Selain itu, dia menganggap kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Chelsea mampu memberi suntikan semangat buatnya serta dua lagi rakan sepasukan, Timo Werner dan Kai Havertz pada kempen kali ini.
“Sebenarnya tidak kisah sama ada anda pemain Chelsea ataupun Bayern, fokus utama adalah untuk bantu pasukan menampilkan aksi terbaik. Bagi saya, kejayaan bersama kelab sebelum ini boleh membantu kami dari segi moral,” ujarnya. – AGENSI