HATINYA diulit simpati, manakala jiwanya dipenuhi dengan rasa empati. Itulah yang dirasai si cantik Daiyan Trisha setiap kali mendengar dan membaca setiap rintihan rakyat Malaysia dalam pelbagai platform media sosial sejak akhir-akhir ini.
Akui wanita berusia 28 tahun itu, disebabkan hampir setiap hari membaca pelbagai kisah duka masyarakat akhir-akhir ini, rasa empati semakin menebal dalam dirinya, sekali gus menggerakkan hati untuk lebih berani bersuara.
Katanya, selain hal ekonomi masyarakat, isu pemberian suntikan vaksin dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut menjadi perhatiannya ketika ini.
Prihatin
“Mungkin pada mata orang lain saya dilihat lantang dan berani bersuara tetapi realitinya, semua yang dikongsikan adalah serpihan daripada luahan hati orang ramai, terutama kerisauan tentang vaksin dan pandemik.
“Selepas melihat ramai yang susah, saya semakin bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini, namun itu bukan tiket untuk bersifat angkuh. Sebaliknya, membuatkan diri lebih bersemangat untuk membantu mereka.
“Jadi, inilah masa untuk gunakan platform digital dan gelaran sebagai selebriti yang dimiliki bagi membantu mereka.
“Saya sentiasa percaya bahawa suara kecil ini mampu membawa perubahan,” kata pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu.
Ujarnya, dia mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki untuk menyuarakan apa sahaja isu yang dirasakan perlu diketengahkan kepada umum.
Memiliki naluri sama seperti orang lain, teraju utama filem Busker itu berkata, dia hanya ingin menjadi manusia yang sentiasa melakukan kebaikan, sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.
“Walaupun usaha ini tidaklah sehebat mana, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah membuka mata banyak pihak dan beri kebaikan kepada orang lain. Semua orang hendak jadi individu baik, itulah juga impian saya.
“Saya juga cuba letak diri saya dalam kehidupan mereka. Itu yang kita semua perlu lakukan, dekatkan diri dengan masyarakat sekeliling, bukannya menjauh daripada mereka,” tutur pengacara Muzik-Muzik 36 itu.
Guna duit sendiri
Meskipun mengakui kehidupannya tidak terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada perkara yang membelenggu fikiran pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur itu.
“Sejak PKP 1.0 sehinggalah PKP 3.0, saya sangat susah hati memikirkan tentang kehidupan orang lain yang terjejas.
“Cukup makankah mereka? Bagaimana mereka hendak bayar segala komitmen jika tidak bekerja? Semua persoalan itu yang bermain dalam fikiran. Saya pula yang pening fikir masalah orang lain,” kongsinya.
Disebabkan rasa susah hati tersebut, hatinya dengan rela menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan menggunakan wangnya sendiri.
“Perkara ini sudah saya lakukan sejak PKP 1.0 lalu dan masih berterusan sehingga kini. Jumlah sumbangan tidaklah banyak dan ikut kemampuan sendiri.
“Paling kasihan apabila ada individu mesej saya dalam Instagram minta dibantu kerana tiada duit membeli susu. Pelajar universiti juga ada minta bantuan,” ujarnya dengan penuh simpati.
Selain menghulur bantuan kewangan, dia juga kerap berkongsi pelbagai jenis organisasi, pertubuhan dan persatuan yang boleh dihubungi dalam media sosial kepada mereka yang memerlukan.
Lakonan, nyanyian
Bercerita tentang perjalanan kariernya sebagai pelakon, pelantun lagu On My Way itu bersyukur apabila lakonannya sebagai Aida dalam drama siri Projek: Anchor SPM baru-baru ini diterima baik oleh penonton.
“Alhamdulillah! Majoriti penonton memberi respons positif terhadap watak Aida. Sehingga hari ini masih ada memanggil saya dengan nama Aida.
“Saya bersyukur mendapat peluang sebegini untuk mempamerkan bakat lakonan saya. Umum tahu saya sangat cerewet dalam memilih karya, jadi bila semuanya menjadi, sangat bersyukur,” tuturnya yang bakal kembali aktif dalam bidang nyanyian tidak lama lagi.
Berkongsi aktiviti sepanjang PKP, Daiyan memberitahu, dia juga aktif menghasilkan beberapa buah lagu.
“Saya banyak menulis lirik dan hasilkan beberapa lagu. Mungkin ini waktu untuk saya mulakan kembali semua perkara yang sudah lama ditinggalkan.
“Secara tidak langsung aktiviti hasilkan lagu dapat juga hilangkan kebosanan dan lupakan seketika segala kerunsingan hidup,” tutupnya.