SHAH ALAM – Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk bersama-sama mempermudah dan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor.
Kedua-dua pihak turut bersetuju memperkemas dan menambah tenaga kerja serta sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengoperasian PPV yang bakal dibuka nanti dengan kerjasama Selgate Healthcare Sdn. Bhd. dan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut akan ditambah adalah unit PPV bergerak bagi membantu mempercepatkan proses imunisasi.
“Ini adalah bagi memenuhi sasaran untuk Selangor mencapai sebanyak 135,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai, seterusnya meningkat kepada 165,000 imunisasi sehari menjelang Ogos.
“Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) Fasa 4 atau Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kerjasama ini merupakan suatu bukti tuntas kesepaduan usaha antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,”katanya.
Terdahulu, Khairy dan Amirudin mengadakan mesyuarat CITF peringkat negeri Selangor di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, tengah hari tadi.
Jelas kedua pihak lagi, usaha-usaha tersebut diharap akan mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok dan
mengeluarkan rakyat negara ini daripada gelombang wabak Covid-19.
Dalam perkembangan bersama, CITF Persekutuan dan CITF negeri turut bersetuju untuk terus menumpukan usaha vaksinasi warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan golongan komorbid tanpa mengetepikan kepentingan warga lain.
“Pelaksanaan PICK Negeri Selangor Fasa 2 untuk warga emas telah pun mencapai 88 peratus daripada keseluruhan warga emas yang berdaftar.
“Memandangkan masih ada warga emas yang belum berdaftar, usaha-usaha jangkau luar (outreach) oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang giat dilaksanakan,” jelasnya. – K! ONLINE.