DUNGUN – Hampir lima hektar hutan tanah gambut berhampiran Kampung Balai Besar di sini musnah dalam kebakaran yang bermula semalam.
Kebakaran hutan yang terletak kira-kira 500 dari penempatan penduduk kampung itu dilaporkan kepada pihak bomba kira-kira pukul 3.47 petang.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azman Alias berkata, sewaktu tiba di lokasi kebakaran semalam, empat hektar kawasan hutan sudah terbakar.
“Pagi ini, kebakaran telah merebak lagi. Walaupun kebanyakan api kebakaran sudah berjaya dipadam, sisa-sia bara yang tertinggal bawah tanah gambut dibimbangi boleh mencetuskan kebakaran lagi.
“Setakat pukul 10 pagi tadi, kebakaran tersebut sudah merebak meliputi kira-kira lima hektar kawasan hutan tanah gambut berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Azman berkata, walaupun punca kebakaran masih belum diketahui, pihak bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka. – K! ONLINE