SEREMBAN – Sehingga 13 Jun, sebanyak 107,180 individu telah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19, manakala, sebanyak 64,070 individu telah selesai menerima dua dos di negeri ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S. Veerapan berkata, peratusan pemberian vaksin di negeri ini sehingga tempoh berkenaan adalah sekitar 12.62 peratus.
Menurutnya, dari jumlah berkenaan, seramai 32 orang asli telah pun menerima vaksin dan jumlah berkenaan bakal dipertingkatkan lagi melalui perkhidmatan outreach vaksinasi oleh Mobile Team.
“Bilangan orang asli yang layak menerima suntikan vaksin adalah 8,167 dan daripada jumlah tersebut, 857 orang telah bersetuju untuk menerima suntikan dan aktiviti promosi sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kementerian Kesihatan (KKM) dan masyarakat setempat bagi meningkatkan bilangan mereka yang bersetuju.
“Malah, kita kini sedang mempertingkatkan untuk memastikan 80 peratus penduduk di negeri ini diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok (Herd Immunity) bagi melindungi semua dari jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Sementara itu, Veerapan berkata, negeri ini merupakan antara negeri tertinggi dikesan kes Covid-19 dan sehingga semalam, terdapat 33 kluster aktif dengan jumlah kes membabitkan kesemua kluster berkenaan adalah seramai 5,345 kes.
Menurutnya, kluster yang mempunyai jumlah kes yang tertinggi adalah Kluster Industri Senawang iaitu sebanyak 716 kes.
“Kluster-kluster lain adalah melibatkan industri (kilang) dan kluster komuniti. Selebihnya adalah kes hasil dari saringan kontak rapat dan saringan seperti saringan bergejala, saringan pekerjaan, saringan pra rawatan dan lain-lain. – K! ONLINE.