SELAYANG – Seorang YouTuber didenda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan masuk ke kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tanpa kebenaran untuk membuat video dua minggu lalu.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Muhammad Alif Abdullah ,40, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, penjara selama 15 hari boleh dikenakan dan tertuduh membayar jumlah denda itu.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang juga bekas operator kilang itu didakwa tanpa alasan yang munasabah melanggar masuk dengan sengaja ke dalam kawasan premis dengan satu kesalahan yang menyalahi undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan Bukit Hari, FRIM, Kepong Desa Jaya, Gombak di sini pukul 6.30 petang pada 4 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 22 Akta Kesalahan Kecil 1955
yang memperuntukkan denda maksimum RM50.
Terdahulu peguam M.Mariappan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.
“Pada hari kejadian, tertuduh memanjat pagar dan masuk ke kawasan hutan (tempat kejadian) untuk mencari ketenangan dan membuat video bagi akaun youtube miliknya, ” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes pada hari kejadian semasa dua anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dua anggota dari Perhilitan membuat rondaan di kawasan itu, telah ternampak seorang lelaki yang mencurigakan iaitu tertuduh.
Selepas ditanya mengapa berada dikawasan itu, tertuduh telah memberi alasan mahu membuat rakaman youtuber namun gagal mengemukakan apa-apa maklumat kebenaran untuk masuk ke kawasan tersebut. -K!ONLINE