SHAH ALAM – Tujuh ah long termasuk seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada April dan Jun lalu.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
N.S. Jaswant Singh, 47, yang merupakan pemandu lori dan mempunyai penyakit kanser itu
dituduh telah menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di sebuah unit pangsapuri di Jalan Putra Indah, Subang Jaya pada 8 Jun lalu.
Manakala, Lee Boon Hui, 19; Sie Yong Soon, 21; Ngo Rui Sheng, 26; Tan Kang Ching, 26; Ling Kung Ming, 31 dan Yee Kok Wei, 38 secara bersama tidak mempunyai lesen yang sah telah memberikan wang sebanyak RM3,000 kepada seorang lelaki berusia 45 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit di aparmen Laguna Biru Kundang pada 28 April lalu.
Ketujuh-tujuh mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM1juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Reetha Parawa Karan manakala Peguam Syah Azlan Abdullah dan Muhammad Syazwan Mohd. Salleh mewakili kesemua tertuduh.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 terhadap Jaswant Singh manakala enam lagi tertuduh dijamin RM8,000 berserta perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.
Kes disebut semula pada 29 Julai dan 11 Ogos depan. -K!ONLINE