JELEBU- Seramai 287 orang penduduk Kampung Lakai, Simpang Durian dekat sini yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menjalani ujian saringan kedua Covid-19, esok.
Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A. Aziz berkata, jumlah tersebut daripada 345 orang penduduk yang telah disaring awal sebelum ini dan 88 orang telah pun disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, daripada jumlah positif Covid-19 itu, 22 orang telah dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kuala Pilah, Port Dickson dan hospital manakala 323 orang penduduk yang lain diarah menjalani kuarantin sepenuhnya di rumah masing-masing.
“Pejabat Daerah Kesihatan Daerah (Jelebu) telah menjalankan saringan dan bertindak seminggu yang lalu disebabkan semua pesakit kes Covid-19 di sini telah diketahui awal dan telah dihantar ke PKRC Kuala Pilah.
“Bagi mereka (penduduk) yang memakai gelang merah yang masih kami tidak ketahui sama ada mereka positif Covid-19 atau tidak, mereka diharap dapat kekal di rumah sahaja bagi kita putuskan rantaian Covid-19. Seramai 287 orang akan menjalani saringan kedua esok dan dari keputusan kedua ini kita akan melihat keadaan kes di PKPD ini,” katanya. -K! ONLINE