fbpx

Pemandu dua kereta lari tinggalkan minyak masak, tepung gandum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa KPDNHEP Kelantan memeriksa minyak masak yang cuba diseludup menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Kampung Bunohan, Tumpat semalam. FOTO : Ihsan KPDNHEP Kelantan

TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menghidu taktik penyeludup yang cuba menyeludup sebanyak 1,003 paket minyak masak bersubsidi dan 200 paket tepung gandum menggunakan dua buah kereta di Kampung Bunohan di sini semalam.

Rampasan bernilai RM2,507 itu dilakukan pada pukul 6 petang hasil kerjasama KPDNHEP dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kelantan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, semasa melakukan rondaan di sekitar kawasan sempadan negara, anggotanya telah melihat dua buah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota KPDNHEP dan Aksem telah bertindak mengekori kedua-dua kereta, namun telah disedari oleh kedua-dua pemandunya.

“Kedua-dua pemandu telah memberhentikan kereta yang dipandu mereka sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu telah membawa kepada penemuan minyak masak paket bersubsidi dan tepung gandum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azanizam Affendi memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek membuat pembelian barangan itu secara persendirian dengan mendapatkan bekalan daripada pemborong. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI