SINGAPURA – Kementerian Pendidikan Singapura (KPS) mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah rendah tahun satu hingga tiga akan meneruskan sesi pembelajaran di rumah sepenuhnya untuk minggu pertama Penggal Tiga mulai 28 Jun, lapor laman berita Channel News Asia (CNA), hari ini.
Pelajar sekolah menengah tingkatan satu dan dua pula akan menjalani pembelajaran di rumah selama tiga hari sehingga 30 Jun dan akan kembali ke sekolah mulai 1 Julai depan.
Sementara itu, pelajar sekolah rendah tahun empat hingga enam dan menengah tingkatan tiga hingga lima, serta semua pelajar maktab rendah dan Institut Millennia akan memulakan sesi bersemuka mulai 28 Jun ini.
Sehubungan itu, semua pelajar dari setiap peringkat pendidikan akan kembali ke sekolah mulai 6 Julai, iaitu pada hari Selasa memandangkan Isnin, 5 Julai adalah cuti umum sempena Hari Belia.
Pengaturan permulaan sesi akademik secara bersemuka ini telah dibuat untuk mempermudah pemulihan sekolah sepenuhnya apabila penggal ketiga persekolahan bermula pada 28 Jun, kata KPS dalam satu kenyataan akhbar.
“Peningkatan kes komuniti Covid-19 mendorong pihak KPS membuat peralihan kepada Pembelajaran Berasaskan Rumah (HBL) sepenuhnya bagi baki akhir penggal kedua persekolahan.
“Namun, saya tahu bagi kebanyakan guru dan pelajar, tiada yang lebih baik berbanding sesi pembelajaran secara bersemuka, dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan rakan sekelas,” tulis Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing di Facebook.
Tambah beliau, KPS berada dalam landasan terbaik dengan program vaksinasi golongan pelajar apabila memaklumkan satu daripada tiga pelajar telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.
“Bagi bergerak ke hadapan, kita perlu menggabungkan vaksinasi dengan peningkatan ujian calitan dan pengasingan kelompok berpotensi dijangkiti dengan pantas untuk memastikan sekolah kita terus dibuka dan berada dalam keadaan selamat,” tulisnya.
Bagi pelajar di sekolah pendidikan khas, sesi pembelajaran bersemuka akan dilakukan secara berperingkat mulai 28 Jun berdasarkan keperluan pelajar namun semua pelajar kekal kembali ke sekolah mulai 6 Julai depan.
Tadika dan pusat jagaan pelajar berasaskan sekolah di bawah KPS akan dibuka sepenuhnya mulai 28 Jun ini untuk memudahkan urusan penjagaan ibu bapa bekerja. – Agensi