AMSTERDAM – Belanda terpaksa mengharapkan jaringan lewat permainan daripada tonggak pertahanan, Denzel Dumfries untuk mencatat kemenangan berharga 3-2 ke atas Ukraine pada aksi Kumpulan C Euro 2020 di Amsterdam Arena sebentar tadi.
Gol tersebut sekali gus menyelamatkan skuad The Oranje daripada dimalukan Ukraine yang bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas ketinggalan dua gol dalam aksi tersebut.
Belanda meraih gol pertama menerusi bekas pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum pada minit ke-52 sebelum penyerang VfL Wolsburg, Wout Weghorst menggandakan kedudukan buat The Oranje enam minit kemudian.
Bekas juara 1988 itu seolah-olah dilihat mampu merakam kemenangan mudah selepas tidak dicabar oleh Ukraine yang sekadar memiliki 38 peratus penguasaan dalam perlawanan berkenaan.
Bagaimanapun, segalanya berubah selepas skuad bimbingan Andriy Shevchenko itu berjaya bangkit dengan dua gol pantas dalam tempoh empat minit menerusi Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk pada minit ke-75 serta 79.
Mujur, tandukan lewat permainan daripada Dumfries berjaya menghasilkan gol ketiga sekali gus menjadi jaringan kemenangan 3-2 buat Belanda ketika aksi berbaki lima minit sebelum tamat.
Belanda yang dikendalikan Frank de Boer akan meneruskan saingan mereka bertemu pendahulu saingan Kumpulan C, Austria yang menewaskan Macedonia Utara 3-1, bagi aksi kedua pada 17 Jun ini. – AGENSI