PUTRAJAYA – Malaysia akan menerima 1,333,800 lagi dos vaksin jenis Pfizer minggu ini bagi keperluan dos kepada penerima sehingga awal Julai ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 444,600 dos akan diagihkan pada 16 hingga 18 Jun manakala 444,600 dos (23 hingga 25 Jun) dan 444,600 dos (30 Jun hingga 2 Julai).
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 5,955,092 dos vaksin sudah diedarkan ke seluruh negara iaitu 1,674,142 dos Sinovac, Pfizer (3,632,850 dos) dan AstraZeneca (648,100 dos).
“Lima negeri tertinggi dalam pengedaran vaksin adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya diikuti Selangor, Sarawak, Johor dan Sabah,” katanya pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Katanya, setakat ini, bilangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin adalah seramai 13,789,736 iaitu mewakili 58.9 peratus.
Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini juga, sebanyak 4,774,418 janji temu telah diberikan kepada penerima vaksin. -K! ONLINE