SEPANG – Gara-gara takut dimarahi abang kerana memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh, seorang pemuda sanggup bertindak memecut laju kenderaan selepas enggan berhenti di sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Kilometeri (KM) 47. 8 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari arah Puchong Cyberjaya ke arah Dengkil di sini, Sabtu lalu.
Tindakan pemuda berusia 21 tahun yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Lexus RX350 itu bagaimanapun sempat dirakam oleh kenderaan lain sebelum video berdurasi 30 saat itu ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan polis kemudiannya dibuat oleh seorang pegawai polis selepas ternampak video tular tersebut di Facebook info Bencana Pahang Dan Luar Pahang.
“Dalam video berkenaan terpapar sebuah kenderaan SUV warna hitam tidak berhenti di SJR yang dijalankan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan kenderaan itu terus memecut laju hingga hampir melanggar seorang anggota yang berada di lokasi,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, sebelum kejadian berlaku, polis trafik bertugas telah mengarahkan kenderaan terbabit untuk berhenti.
“Bagaimanapun ketika menghampiri kenderaan tersebut untuk pemeriksaan, ia tiba-tiba memecut laju dan tidak berhenti di lokasi seperti yang diarahkan.
“Kenderaan tersebut juga gagal dikesan disebabkan telah dipandu dalam keadaan laju dan nombor pendaftaran kenderaan juga tidak dapat dikenal pasti sewaktu kejadian,” katanya. -K! ONLINE