ALOR SETAR – Sebuah kilang pemprosesan ayam yang disiasat setelah membawa 48 pekerja warga asing memakai gelang merah jambu menggunakan lori di daerah Kuala Muda dekat sini semalam didapati tidak melakukan pengasingan kendiri terhadap pekerja bergejala jangkitan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Kedah, Azman Nasrudin berkata, kesalahan pengusaha kilang ialah tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak mengasingkan pekerja bergejala serta tidak merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan susulan.
“Sehubungan itu, kes ini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE