NEW DELHI – Sebuah majlis perkahwinan di India bertukar tragedi apabila gajah yang disewa untuk majlis keraian itu mengamuk dan merempuh tetamu akibat terkejut mendengar bunyi mercun, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Majlis perkahwinan itu berlangsung di Kampung Almapur, negeri Uttar Pradesh di utara India.
Menurut Balai Polis Sarai Inayat yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Kampung Almapur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat amukan gajah itu, namun ia telah mengakibatkan kerugian yang besar.
Ketua Balai Sarai Inayat, Rakesh Chaurasi berkata, kejadian berlaku apabila rombongan pengantin lelaki yang tiba di majlis perkahwinan disambut dengan letupan mercun baru-baru ini.
“Gajah itu terkejut mendengar bunyi letupan mercun di hadapan rombongan pengantin lelaki dan mula mengamuk hingga menyebabkan semua tetamu bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Haiwan itu merosakkan sejumlah kenderaan, termasuk dua kereta dan beberapa basikal serta khemah yang dipasang untuk majlis tersebut,” katanya.
Selepas beberapa ketika, gembala gajah itu berjaya menenangkan binatang itu dan menjadikan situasi lebih terkawal.
Rakesh turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atas insiden itu dengan menyebarkan berita palsu mengatakan gembala tersebut mati dipijak.
“Tiada sebarang kecederaan atau mangsa terkorban dalam kejadian ini. Semua berita yang tersebar di media sosial hanyalah khabar angin semata-mata. – Agensi