fbpx

Isteri ambil alih tugas ketua keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorfazlin dan anak-anaknya pernah makan nasi berlauk kicap dan ikan bilis semasa tempoh PKP ketika ditemui di PPR Uda Utama, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga apabila suaminya yang diharapkan selama ini hilang punca pendapatan sejak setahun lalu dan terpaksa menjual kuih sejuk beku bagi menyara lapan anak mereka.

Noorfazlin Zainal Abidin, 39, berkata, lebih memeritkan apabila dia perlu memberikan lebih perhatian kepada dua anak­nya, Sharifah Nurul Amienah Syed Mohd., 17, yang menghidap masalah perkembangan otak dan anak lelakinya yang autisme dan hiperaktif, Syed Mohd. Asyraf, 5.

Katanya, penderitaan hidup bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu apabila suaminya hilang kerja sebagai pembantu tukang rumah dan kesemua duit simpanan habis digunakan.

“Kami pernah makan nasi dengan kicap dan ikan bilis sahaja kerana kesempitan hidup. Kalau ada lauk kami berjimat dan akan memanaskannya berulang kali untuk dimakan.

“Sejak suami tak bekerja, saya membuat kuih sejuk beku untuk dijual di kawasan rumah, namun hidup saya diuji lagi apabila lutut cedera selepas terjatuh pada November tahun lalu yang membataskan pergerakan saya,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama dekat sini semalam.

Tambahnya, hasil jualan tidak banyak mana dan hanya lepas untuk membeli lauk harian sahaja.

Menurut Noorfazlin, dia dan dua anaknya yang mempunyai kad orang kelainan upaya juga perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah di sini.

“Sharifah hidap masalah perkembangan otak sejak tiga tahun lalu dan perlu diingatkan setiap perkara berulang kali, manakala Syed Mohd. Asyraf pula belum boleh bercakap dan masih memakai lampin pakai buang,” katanya.

Ujar Noorfazlin, duit hasil jualan banyak dihabiskan untuk bergerak ke sana sini menaiki Grab ekoran keretanya rosak.

“Jiran dan rakan ada memberi pinjam wang walaupun mereka tahu saya tidak mampu membayar semula,” katanya yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan.

Tambahnya, anak sulungnya yang berusia 18 tahun berusaha mencari kerja selepas diberhentikan akibat Covid-19.

Nasib malang Noorfazlin mendapat perhatian Pasaraya Econsave Cash and Carry yang ­menghulurkan bantuan bara­ngan keperluan bernilai RM1,000.

Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya juga menawarkan pekerjaan kepada anak Noorfazlin.

Bagi yang mahu membantu keluarga Noorfazlin boleh ­menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 05109-41-00003704-4.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI