PARIS – Meskipun turun selaku pemain bukan pilihan, pemain kelahiran Republik Czech, Barbora Krejcikova berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis malam kelmarin.
Krejcikova meraih kejuaraan Roland Garros selepas berjaya menyingkirkan cabaran pemain Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova dengan keputusan 6-1, 2-6, 6-4.
Lebih membanggakan, pemain ranking ke-33 dunia itu menjadi pemain wanita pertama Republik Czech merangkul kejuaraan Roland Garros dalam tempoh 40 tahun sekali gus menyamai rekod rakan senegaranya, Hana Mandlikova yang meraih trofi di Paris pada tahun 1981.
Kemenangan tersebut memberi kepuasan kepada Krejcikova selain turut mendedikasikan kemenangan itu kepada mentornya iaitu bekas juara Wimbledon, Jana Novotna yang telah meninggal dunia akibat barah pada 2017 ketika berusia 49 tahun.
“Saya sangat gembira dengan apa yang saya capai ketika ini. Sukar untuk diungkapkan dan rasa macam tidak percaya saya baru memenangi gelaran Grand Slam.
“Bagaimanapun, kemenangan ini adalah untuk Novotna kerana saya banyak menghabiskan masa dengannya sebelum dia meninggal dunia. Saya masih ingat kata-kata terakhirnya yang menyuruh saya menikmati tenis dan cuba untuk memenangi Grand Slam.
“Saya tahu dia menjaga saya dan semua kemenangan ini adalah untuk dia. Dia sangat memberi inspirasi, saya sangat merindukannya,” katanya. – AGENSI