fbpx

Godaan berbelanja online hantui pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, SITI AMINAH MOHD. YUSOF

SEBAHAGIAN besar rakyat Malaysia akan kekal berada di rumah sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu lagi berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok hingga 28 Jun depan.

Buat mereka yang bekerja di rumah atau mempunyai pendapatan tetap setiap bulan barangkali sukar menepis godaan membeli-belah secara online sekali gus menganggap aktiviti tersebut sebagai terapi dalam tempoh berkurung yang panjang.

Apatah lagi kebanyakan masa di rumah banyak dihabiskan dengan berada di hadapan skrin komputer riba atau gajet pintar serta tidak kurang juga antara kita yang begitu mudah terpesona dengan lambakan rancangan iklan berbayar di televisyen.

Sebut sahaja apa barangan daripada sekecil-kecil tuala tangan sehinggalah kepada sebesar-besar perabot, alat senaman dan barangan elektronik semuanya boleh dipesan di hujung jari tanpa mengira waktu.

Tawaran harga yang dianggap sangat berbaloi misalnya kempen jualan sempena tarikh tertentu, diskaun hebat berganda, pulangan tunai atau promosi beli satu percuma lima boleh menghantui fikiran selagi kemahuan berbelanja tidak dilunaskan.

Persoalan yang harus dita­nya kepada diri adakah barang yang dibeli betul-betul berguna atau sekadar memenuhkan ruang dalam kediaman seterusnya menghimpun habuk serta debu.

Rakyat Malaysia yang turut terkenal dengan hobi makan juga mungkin sulit menolak keinginan tunas rasa untuk memesan pelbagai jenis juadah yang tampak menyelerakan melalui kumpulan perniagaan online di pelbagai aplikasi dan media sosial.

Pakar Kewangan Pengguna dan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, gelagat pengguna berubah dengan sangat ketara semasa PKP terutamanya dalam aspek perbelanjaan dan amalan menyimpan wang.

“Dalam mengharungi tempoh PKP yang panjang, pengguna wajar berjimat-cermat kerana ba­nyak perbelanjaan lain perlu dipertimbangkan.

“Amalan membeli-belah secara online bukan hanya melibatkan orang dewasa atau golongan bekerja, bahkan kanak-kanak dan remaja turut terjebak,” ujar­nya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Jaringan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Madya Dr. Azwan Abdullah berkata, perancangan kewangan isi rumah perlu diurus secara berobjektif dengan me­lakukan muhasabah kewangan sebelum berbelanja.

“Adalah penting menentukan matlamat perbelanjaan bagi mengelak ketirisan sumber wang dan menyenaraikan barangan dan keperluan mengikut ke­utamaan seterusnya menyediakan bajet untuk barangan yang ingin dibeli.

“Kemudian buat saringan barang dengan meneliti kemam­puan dan mungkin ada beberapa perkara perlu dinyah keluar daripada senarai bagi memberi laluan kepada barang yang lebih penting,” jelasnya.

Ujarnya, amalan perancangan kewangan yang baik mampu menstabilkan ekonomi keluarga, mengekalkan harmonisasi dalam pasaran dan yang paling penting dapat mengelakkan isi rumah daripada berhadapan dengan masalah defisit kewangan.

Pada hemat penulis, isi rumah boleh berusaha mengalih kecenderungan membeli-belah dalam talian dengan melakukan aktiviti yang meningkatkan nilai tambah diri antaranya mempelajari ilmu dan kemahiran baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI