Esok, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown disambung lagi untuk tempoh dua minggu sehingga 28 Jun ini. Puncanya, jumlah kes harian Covid-19 masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan kes baharu sehingga semalam ialah 5,304.
Dua minggu bukan satu tempoh yang mencukupi untuk menurunkan kes Covid-19 secara mendadak, namun kita telah berjaya menurunkan jumlah kes aktif di bawah 75,000. Lanjutan tempoh total lockdown ini sememangnya sudah dijangka.
PKP 1.0 pada Mac tahun lalu pun memerlukan masa berbulan-bulan untuk menurunkan kes sehingga pernah mencatatkan angka sifar. Ketika itu, jangkitan Covid-19 yang dilaporkan hanya ratusan kes sehari, malah varian India, United Kingdom dan Afrika Selatan pun belum wujud di negara ini.
Namun, situasi sekarang semakin serius. Penularan varian baharu itu amat menakutkan kerana pesakit berisiko tinggi mendapat kesan yang lebih teruk sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Penggunaan katil di ICU hospital kini hampir mencapai had maksimum. Kerajaan terpaksa menggunakan wad bukan pesakit Covid-19 untuk rawatan pesakit Covid-19.
Petugas kesihatan pun semakin penat. Sejak tahun lalu hingga sekarang, tugas menyelamat pesakit Covid-19 tidak pernah putus-putus. Setiap hari juga kematian tidak pernah mencatatkan satu angka, malah pernah mencapai tiga angka.
Ketika ini, situasi yang menakutkan kita andai kata doktor, jururawat dan petugas kesihatan menyerah kalah sambil membuka peralatan perlindungan diri setelah ‘rebah’ dalam melawan Covid-19.
Siapa lagi yang kita mahu harapkan untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 yang masih berada di hospital dan yang bakal menjadi pesakit?
Andai kata ICU sudah ‘tenat’ serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah sudah penuh, di manakah pesakit Covid-19 akan dirawat? Mungkin terpaksa duduk di rumah sahaja sementara menunggu sama ada hidup atau mati.
Andai kata juga, jika polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia mengundur diri kerana penat dengan ragam segelintir rakyat Malaysia yang sering melanggar arahan, siapa lagi yang akan mengawal pergerakan kita? Berleluasalah Covid-19 di sana sini.
Andai kata pasukan bomba, petugas jabatan agama tidak lagi mampu menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang semakin ramai setiap hari, siapa yang akan menguruskan mayat-mayat ini?
Kita tidak mahu andai kata itu menjadi realiti. Kita tidak mahu jadi seperti di India. Doktor yang menentukan siapa boleh hidup dan siapa akan mati.
Jika keadaan itu berlaku, kita hendak menyesal pun tiada guna. Manfaatkan peluang yang masih ada untuk terus memerangi Covid-19 kerana harapan itu tetap ada untuk kita semua kembali hidup seperti manusia yang normal.