PARIS – Pemain Greece, Stefanos Tsitsipas membuktikan ramalan banyak pihak mengenai keupayaannya pada aksi Terbuka Perancis kali ini adalah benar apabila mara ke pentas final buat kali pertama dalam kariernya.
Tsitsipas, 22, muncul pemain Greece pertama mara ke final Grand Slam selepas berjaya mengatasi cabaran pemain Jerman, Alexander Zverev pada aksi saingan separuh akhir dengan keputusan 6-3, 6-3, 4-6, 4-6, 6-3 malam kelmarin.
Bagaimanapun, Tsistipas tidak menyangka usaha kerasnya selama ini membantunya untuk mara ke pentas final Terbuka Perancis.
“Saya datang dari tempat kecil di luar dari Athens dan sering memasang impian saya untuk beraksi di perlawanan utama Terbuka Perancis.
“Saya sangat teruja dan gembira kerana berjaya melepasi halangan untuk melangkah ke pentas final. Saya bekerja keras untuk ke sini dan kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan juga karier saya ketika ini,” kata Tsitsipas.
Hasil keputusan tersebut, Tsitsipas dilihat berdepan tugas berat pada aksi final nanti selepas dijadualkan berdepan pemain No.1 dunia, Novak Djokovic malam ini.
Pada aksi separuh akhir tersebut, Djokovic melakukan kejutan selepas menamatkan penguasaan juara 13 kali Roland Garros, Rafael Nadal dalam pertarungan epik awal pagi semalam. – AGENSI