fbpx

Separuh golongan antivaksin ubah pendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita diberi suntikan vaksin di sebuah pusat vaksinasi di Britain. – Getty Images

LONDON – Satu kajian mendapati separuh daripada golongan anti-vaksin di Britain sudah diberikan suntikan vaksin Covid-19, manakala keyakinan kepada program pelalian kerajaan dalam kalangan etnik minoriti turut meningkat, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Sekitar 52 peratus individu yang berkata bahawa mereka tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin apabila ditanya pada November dan Disember 2020 kini sudah menerima imunisasi koronavirus.

Menurut kajian yang dijalankan oleh King’s College di London dan Universiti Bristol itu, sejumlah 84 peratus individu yang berbelah bahagi untuk menerima pelalian pada tempoh sama juga sudah mengambil vaksin.

“Hasil kajian ini menunjukkan bilangan orang awam yang antivaksin telah menurun sejak Britain melancarkan program vaksinasi massa enam bulan lalu,” kata kumpulan penyelidik tersebut.

Kata mereka, keyakinan kepada program vaksinasi dalam kalangan etnik minoriti di Britain pula meningkat dua kali ganda daripada cuma 36 peratus sebelum ini kepada 72 peratus sekarang.

Dalam kalangan orang Islam pula, peningkatan yang dicatatkan sepanjang tempoh sama adalah tiga kali ganda iaitu daripada 23 peratus kepada 67 peratus.

“Secara keseluruhannya, lebih ramai orang awam kini berkata bahawa mereka akan mendapatkan suntikan vaksin berbanding tahun lalu,” tambah mereka.

Pensyarah kanan sains sosial kuantitatif di Universiti Bristol, Dr. Siobhan McAndrew berkata, kadar penerimaan vaksin dalam kalangan warga Britain kini sangat menggalakkan.

“Kalangan etnik berbeza dan rakyat berlainan agama semakin ramai menyakini vaksin,” katanya.

Kajian itu melibatkan seramai 4,896 penduduk dewasa di Britain yang berusia 18 tahun hingga 75 tahun dan dilakukan antara 1 April hingga 16 Apri lalu. Kumpulan penyelidik turut menghubungi 1,879 responden yang terlibat dalam kajan sama tahun lalu.

Pasukan penyelidik berkenaan berbuat demikian untuk mengetahui sama ada pandangan mereka kini berbeza dan punca mereka menukar pendirian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI