fbpx

Polis siasat NGO kutip derma ikat jamin ‘rider’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan hantaran di laman Facebook berkaitan kutipan derma bagi membantu membayar ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan di Sungai Way, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kenyataan memohon derma itu dipercayai daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hantaran itu menyatakan lima orang penghantar makanan ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah, mereka perlu bayar wang ikat jamin sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 seorang di mana wang boleh disalurkan ke laman web dinyatakan atau akaun bank CIMB bernombor 8604296996 milik NGO berkenaan.

“Polis menafikan kenyataan tersebut kerana pihak polis tidak pernah mengenakan atau meminta apa-apa bayaran ikat jamin terhadap Orang Kena Tangkap (OKT),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, polis mengesyaki terdapat individu atau persatuan yang mengambil kesempatan terhadap insiden berkenaan dengan membuat kutipan derma untuk kepentingan peribadi.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan media sosial,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan enam individu termasuk seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan berhubung pergaduhan melibatkan sensitiviti agama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI