MOSCOW – Semua penduduk di ibu negara Rusia diminta untuk kekal berada di rumah selama seminggu apabila Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin mengisytiharkan tempoh berkenaan sebagai ‘minggu tidak bekerja’, lapor stesen penyiaran CNN, kelmarin.
Arahan minggu tidak bekerja itu yang berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 19 Jun adalah salah satu usaha alternatif pentadbiran bandar untuk mengekang penyebaran Covid-19 yang semakin memburuk.
“Sejak seminggu terakhir, situasi penyebaran koronavirus telah merebak dengan pantas dan dijangka akan lebih kritikal. Jumlah kes Covid-19 yang baru didiagnosis melonjak ke nilai puncak seperti yang dicatat pada tahun lalu.
“Bagi menghentikan peningkatan kadar kes positif dan menyelamatkan nyawa penduduk, saya telah menandatangani keputusan yang menetapkan bahawa hari tidak bekerja berkuat kuasa dari 15 Jun hingga 19 Jun 2021, dengan pengekalan upah untuk pekerja,” tulis Sobyanin di blog rasminya.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak melibatkan untuk pekerja sektor ekonomi utama dan tentera.
Selain “minggu tidak bekerja”, restoran, kafe, bar, kelab malam dan tempat hiburan lain perlu ditutup pada pukul 11 malam hingga 6 pagi kecuali bagi perkhidmatan bawa pulang.
Kes mulai meningkat minggu ini apabila purata pergerakan tujuh hari seminggu menjadikan purata jumlah pesakit positif meningkat lebih 10,000 kes sehari. – Agensi